ADIL, BERSIH & PEDULI

Wednesday, August 31, 2005

XPDC Dakwah di Ambang Merdeka

Alhamdulillah, XPDC dakwah yang diadakan oleh pemuda anjung tengah telah berjalan dengan lancar. Anjung tengah telah di wakili oleh pemuda dari 4 kawasan(Subang, Kelana Jaya, P.J Utara dan P.J Selatan). Dianggarkan seramai 40 pemuda yang perihatin telah menjayakan XPDC dakwah kali ini. XPDC kali ini telah dimulakan dengan taklimat ringkas oleh akhi Azri Mohd Arish dan akhi Khairuddin Othman. Seperti yang telah dirancang, perkarangan Sunway Pyramid telah menjadi tempat sasaran penyebaran risalah dakwah. XPDC tamat pada pukul 12.00 pagi.
Semoga Allah menerima usaha kami yang sedikit ini. Amin.

Tuesday, August 30, 2005

Kerajaan Selangor 'banned' saya - Harussani

Pengkalan Hulu 24 Rejab 1426H @ 29 Ogos 2005 (Isnin) - "Di atas ketegasan saya itu, maka ceramah saya di sebuah Universiti tempatan di Selangor telah dibatalkan".
Demikian keluhan YBhg SS Mufti Negeri Perak, Hj Harussani bin Hj Zakaria, ketika menyampaikan ceramahnya di Masjid Kg Air Panas, Pengkalan Hulu, Ahad lalu.
SS Hj Harussani menjelaskan bahawa isu kondom dan jarum yang hendak dilancarkan oleh Kerajaan mulai Oktober depan perlu dinilai dari keseluruhan sudut agar ianya tidak akan merugikan semua pihak. Menurut beliau dengan pemberian jarum percuma kepada mangsa hiv positif itu, apakah kita dapat menjamin bahawa jarum itu tidak dikongsikan dengan mereka di kalangan sesama penagih lain.

Begitu pula dengan pemberian kondom, apakah sudah dikenali mekanismenya bahawa dengan pemberian itu, mereka tidak akan berzina. Ketegasan ini akhirnya mendapat perhatian pihak tertentu dan mereka telah 'banned' saya. Apabila disiasat, kononnya ia adalah dari arahan pihak atasan - JMNPk

PANDUAN MENCEGAH KEBAKARAN

Langkah-langkah keselamatan :
  1. Simpan bahan kimia yang mudah meruap (seperti turpentin dan baja kimia) di dalam bekas asal. Letakkan di setor berkunci yang berada di luar rumah.
  2. Simpan minyak pembakar (iaitu minyak tanah, kerosene, dan gasolin) di dalam bekas yang selamat. Letakkan di tempat selamat di luar rumah.
  3. Jangan simpan atau mengisikan minyak pembakar ini di dalam bekas yang bocor, botol air mineral, atau botol plastik selain daripada bekas khas.
  4. Jangan sesekali menggunakan atau membawa masuk minyak tanah atau minyak gas ke dalam rumah.
  5. Jauhkan benda yang mudah terbakar (langsir, perabot kayu, kertas, suratkhabar, kotak kertas, kain, pakaian, minyak pembakar) daripada dapur.
  6. Simpan mancis dan pemetik api di tempat jauh dari kanak-kanak .
  7. Jangan tinggalkan dapur dengan api terbuka semasa anda memasak. Padamkan api dapur atau sudahkan dahulu kerja memasak sebelum anda keluar dari dapur.
  8. Padamkan api rokok, puntung mancis atau kertas penyala dengan AIR - PASTIKAN BARA PADAM - sebelum anda membuang ke dalam tong sampah!
  9. Semasa memasak, jangan memakai pakaian dari jenis yang mudah terbakar (seperti nilon dan rayon). Kain sintetik seperti ini boleh terbakar jika ternyala oleh dapur panas atau api memasak.
  10. Jangan tinggalkan pemanggang atau ketuhar semasa menggunakannya.
  11. Jangan biarkan lilin atau pelita menyala tanpa dijaga. Pasangkan lilin atau pelita di atas bekas yang tidak boleh terbakar.
  12. Jika menggunakan ubat nyamuk jenis bakaran: letakkannya dalam bekas logam, kaca atau tembikar (yang tidak mudah terbakar), jauhkan daripada katil, pakaian, langsir, buku, atau tempat laluan.
  13. Jauhkan sambungan elektrik daripada langsir, pakaian, katil, perabot, atau benda mudah terbakar.
  14. Jangan bebankan sambungan elektrik (electrical outlets, extension cords and power strips) - Gunakan penyambung elektrik yang diluluskan oleh SIRIM / Jabatan Bekalan Elektrik.
  15. Periksa jika ada koyak atau pecah pada sambungan dan wayar elektrik. Tutup outlet elektrik yang tidak digunakan.
  16. Pastikan alat pemutus bekalan elektrik berfungsi! Alat ini berperanan memutuskan litar elektrik jika terjadi bekalan lampau (overload), sambaran petir, dan ledakan kuasa (power surge).
  17. Pasangkan alat penggera api dan asap - alat ini berperanan mengesan asap dan haba yang menandakan kebakaran.

Monday, August 29, 2005

Tips-tips mengatasi gas pemedih mata


SEBELUM GAS PEMEDIH MATA DILEPASKAN
  1. Sekiranya anda nampak pihak keselamatan mula mengenakan topeng muka, bermakna gas pemedih mata akan dilepaskan.
  2. Sekiranya anda memakai kanta pelekap (contact lense) tanggalkannya dengan segera, jangan gunakan kanta pelekap ini walaupun keadaan telah reda.
  3. Pakai cermin renang (swimming goggle) sekiranya ada.
  4. Tutup mulut dan hidung rapat dengan kain yang dibasahkan dengan air kosong (sebaiknya dibasahkan dengan air limau).
  5. Sekiranya anda ada baju hujan, maka pakai baju dan seluar hujan dengan kemas serta tutup kepala anda dengan baju hujan yang ada penutup kepala.
  6. Jangan gunakan losyen atau minyak sebagai pelindung kulit kerana ini akan lebih memburukkan keadaan kerana losyen dan minyak akan memerangkap kimia gas pemedih mata pada kulit anda.

KETIKA GAS PEMEDIH MATA DILEPASKAN
  1. Cuba bertenang , Jangan Panik ! Jika anda panik suhu badan anda akan meningkat dan akan lebih memedihkan lagi mata dan kulit anda.
  2. Cuba bergerak keluar dari asap gas pemedih mata.
  3. Jangan sentuh muka dan mata anda dengan tangan.
  4. Hembus hidung, dan ludahkan keluar kimia yang terdapat dalam gas pemedih mata.
  5. Jangan sentuh tin gas pemedih mata yang dilepaskan, ianya panas. Sekiranya anda dapati ibu mengandung atau kanak-kanak berada di kawasan tersebut, gunakan sarung tangan kulit untuk mencampakkan tin gas pemedih mata tersebut ke kawasan yang tiada orang (JANGAN campakkan tin gas pemedih mata tersebut ke arah pasukan keselamatan).
RAWATAN
  1. Cuci muka, mata dan bahagian badan yang terkena gas pemedih mata dengan air yang banyak.
  2. JANGAN gunakan sabun.
  3. Salin pakaian yang bersih.
  4. Pakaian yang tercemar hendaklah diikat didalam plastik.
BAHAYA GAS PEMEDIH MATA
  1. Gas pemedih mata juga dipanggil CS, CN, atau CX adalah bahan kimia yang digunakan oleh pasukan keselamatan untuk menyuraikan perhimpunan.
  2. Ada pendapat yang mengatakan gas pemedih mata ini boleh menyebabkan barah, kecacatan bayi dalam kandungan.
  3. Di Seattle, Amerika Syarikat terdapat beberapa gas pemedih mata yang dilepaskan mengandungi methylene chloride, bahan kimia yang sangat toksik yang boleh menyebabkan keguguran serta merta.
SIAPA YANG BERBAHAYA TERDEDAH PADA GAS PEMEDIH MATA
  1. Mereka yang ada penyakit lelah.
  2. Mereka yang mempunyai penyakit dada, paru-paru yang lain.
  3. Wanita yang mengandung.
  4. Mereka yang mempunyai penyakit mata dan kulit.
  5. Mereka yang menggunakan kanta pelekap (contact lense).

Ringkasan Usrah Kawasan

  • Kepentingan memahami maksud Iman, Islam dan Ihsan
  • Kebolehan para dai'e dan aktivis untuk mengupas pengertian Iman, Islam dan Ihsan
  • Kepentingan untuk sentiasa meningkatkan dan menguatkan Aqidah Islamiyyah di kalangan ahli dan keluarga

Sunday, August 28, 2005

Tahniah! Azizi & Natasha

Alhamdulillah, majlis perkahwinan Azizi & Natasha telah berlangsung dengan jayanya. Semoga Allah memberkati kehidupan mereka.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada warga DPPPJU yang telah membantu bagi memastikan majlis berjalan dengan lancar. Hasil latihan dan tarbiyah, segala kerja dilakukan dengan penuh rasa kasih sayang dan ukhuwah.

Saturday, August 27, 2005

JAMBORI AMAL KEBANGSAAN 2005

Alhamdulillah, Jambori Amal Kebangsaan 2005(JAK) telah berlangsung selama 3 hari bermula 25/8/2005-27/8/2005 di Jeram Tengkek, Kuala Pilah. Dianggarkan seramai 750 peserta dari 11 negeri telah mengambil bahagian. Kontijen Amal Selangor telah menghantar seramai 131 peserta. Peserta di bahagikan kepada kategori Shabab dan Walad.
DPPPJU telah menghantar 2 peserta sebagai wakil ke JAK 2005. Mereka ialah akhi Ariff 'Ateed Hasan dan akhi Mohd Jasni. Turut bersama ialah Timbalan Ketua Pemuda PJU, akhi Azri Mohd Arish.
Beberapa acara yang dipertandingkan telah dimenangi oleh Kontijen Amal Selangor. Selain itu, program cakna bersama penduduk Kg Jeram Tengkek telah mempereratkan lagi silaturahim antara peserta JAK 2005 dan penduduk setempat. Penduduk kampung turut disajikan dengan tayangan video misi kemanusian Tsunami Acheh.

Serve To Allah

MEMPERKASA PARTI DI NEGERI SELANGOR

Pas Selangor telah menubuhkan Lembaga Pemerkasaan Parti Pas Negeri Selangor seawal terpilih dan terlantiknya saf kepimpinan baru negeri baru-baru ini. Lembaga ini akan menjadi badan induk mempromosi pendekatan baru dalam usaha menjadikan seluruh gerakerja parti lebih mantap, berkeyakinan, berwibawa dan bermartabat.

Lembaga Pemerkasaan Parti ini antara lain berfungsi untuk mengkaji ruang-ruang pentadbiran parti yang memerlukan pembaikan dari segi ide, pendekatan dan tatacara perlaksanaan. Usia parti yang sudah menjangkau 53 tahun, sudah tentu memerlukan suntikan-suntikan dan sentuhan-sentuhan ide, pengalaman dan kemahiran terkini bagi menjadikan parti terus relevan, anjal dan sensitif terhadap selera dan citarasa masyarakat di samping terus mempertahankan idealismenya.

Pas Selangor telah memilih para ilmuan, praktisionar, teknokrat dan pengamal modenisasi pengurusan untuk membantu parti kita dalam kerja memperkasa parti. Kerja-kerja awal sedang dijalankan melibatkan seluruh lapisan pentadbiran parti. Kerjasama yang erat dan padu daripada semua pihak sangat-sangat dialukan bagi menentukan usaha murni ini memperoleh kejayaan.

Dalam usaha melakukan anjakan paradigma dalam pemikiran, sikap dan amalan khususnya dalam konteks pemerkasaan parti ini, Pas Selangor cenderung menggunakan pendekatan bertahap atau inkremental. Faktor penerimaan dan kebersediaan ahli menerima perubahan ini di iktiraf menjadi faktor kejayaan kritikal dan pimpinan Selangor sentiasa memperhitungkannya.

Pas Selangor juga mengambilkira unsur ilmu, ketrampilan dan sikap di kalangan ahli Pas yang begitu rencam. Usaha memperkasa parti tidak seharusnya melahirkan kesan negatif samada yang dijangka atau yang tidak dijangka. Apapun, Pas sebagai sebuah parti arus perdana harus menerima hakikat bahawa sistem pengurusan parti mesti diurus dan ditadbir dengan cara yang paling bijaksana bagi membolehkan Pas menjadi parti “evergreen” di hati rakyat.
Program Pemerkasaan Parti yang sebahagian besarnya berlegar di persekitaran pengurusan sistem parti akan memberi tumpuan khusus kepada projek-projek pembaikan dari peringkat akar umbi terendah di cawangan, kawasan, negeri hinggalah ke peringkat pusat. Gerakan ini bercorak holistik dan memakan jangka waktu. Dalam konteks Pas Selangor, eksplorasi ke arah ini sedang aktif dilakukan. Usaha yang bersungguh-sungguh daripada kita disamping menyerahkannya kepada ketentuan Allah Azzawajjala merupakan aduanan kepada kejayaan.

Friday, August 26, 2005

SELANGOR MENDEPANI GERAKERJA PARTI

Saf baru kepimpinan Selangor berazam menjadikan negeri ini sebagai negeri contoh yang sentiasa mendepani gerakerja parti di semua peringkat struktur parti. Untuk mencapai matlamat ini, Pas Selangor telah mengenalpasti beberapa bidang rangka kerja kritikal yang berkait langsung dengan keberlangsungan parti untuk dekad-dekad yang akan datang.

Di antara bidang gerakerja menjadikan Selangor negeri contoh termasuklah:

a. Gerakkhas menambah ahli dan penubuhan cawangan secara segera.
b. Melengkapkan kemudahan/peralatan di markaz/pejabat parti di semua peringkat-- negeri, kawasan dan cawangan.
c. Mengatur program-program latihan pengurusan parti, kepimpinan dan kepilihanrayaan yang dianjurkan oleh ALPS (Akademi Latihan Pas Selangor).
d. Menggerak dan menyuburkan gerakerja parti di enam anjung yang telah ditubuhkan.
e. Menentukan program tarbiyyah berjalan lancar di semua peringkat selari dengan matlamat Tahun Tarbiyyah Selangor.
f. Menggerakkan Kelab Penyokong Pas dan menjadikannya kelab contoh.
g. Mendepani usaha mengguna rangkaian telekomunikasi terkini seperti web tv, web radio, msgr, yahoogroups, netmeting, SMS dan lain-lain.
h. Merangka lebih banyak program-program “engagement” bertujuan meluaskan jaringan sokongan kepada parti di kalangan semua masyarakat di Malaysia.
i. Membentuk para amilin parti yang mempunyai jati diri, daya tahan dan daya juang yang tinggi.

Gerakerja yang disenaraikan tidaklah begitu sukar untuk direalisasikan. Negeri Selangor mempunyai segala-galanya untuk bertindak menjadi negeri contoh. Pas Selangor mempunyai rangkaian tenaga sokong yang ampuh dan berwibawa. Gandingan mantap ulamak dan profesional serta kepimpinan yang mantap membolehkan hasrat menjadikan Selangor negeri contoh berhasil dengan jayanya.
Pimpinan Pas Negeri sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dalam apa bentuk pun bagi menentukan di setiap peringkat pengurusan parti menyahut cabaran ini. Masa, suasana dan keadaan begitu mengizinkan kita mempelopori usaha memperkasa parti yang sedang dilaksanakan di negeri ini. Inilah di antara jalan yang terbentang luas di hadapan kita untuk memartabatkan parti yang sekaligus berkait langsung dengan usaha meletakkan Islam ke mercunya.

Pemuda PAS dan Pemuda UMNO bekerjasama atasi masalah sosial

GOMBAK 25 Ogos - Ketua Dewan Pemua PAS Negeri Selangor , Ustaz Ramli Sidom dalam mengulas cadangan kerjasama Pemuda PAS dan Pemuda Umno, berkata beliau melihat secara positif cadangan Ketua Dewan Pemuda PAS YB Salahuddin tersebut.

Harapannya "suatu bentuk program yang sederhana, berunsur patriotik, dan unsur nasihat-menasihati serta penekanan kepada alternatif tanagani masalah remaja juga akhirnya usaha-usaha mendekatkan remaja kepada Agama harus disusuli secara berterusan".

Mengulas pandangan Ketua Pemuda PAS Pusat dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO sebagai mana disiarkan di Akhbar Utama hari ini "(sumber berita : utusan malaysia )

PUTRAJAYA 24 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO bersetuju bekerjasama dengan Pemuda Pas dalam menangani isu-isu membabitkan masalah sosial di kalangan remaja di negara ini.Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta beberapa Exco pergerakan itu berbincang dengan Pemuda Pas mengenai bentuk-bentuk program yang akan diadakan termasuk membanteras penyalahgunaan najis dadah.``Kita bersetuju dengan pandangan Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub untuk mengadakan kerjasama ini. ``Saya percaya cadangan ini dapat diterima oleh semua pihak,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.Hishammuddin mengulas cadangan Salahuddin semalam yang ingin membentuk kerjasama tersebut bagi menangani masalah-masalah sosial di kalangan remaja di negara ini.Salahuddin berkata, Pas akan mengetepikan seketika kepentingan politik dan bekerjasama dengan artis seperti Mawi atau Siti Nurhaliza bagi mengadakan persembahan untuk tujuan tersebut.Hishammuddin yang menyambut baik cadangan itu berkata: ``Saya rasa cadangan ini bagus, kita boleh mengatur program-program yang positif sama ada melibatkan Mawi atau Siti Nurhaliza.''Dalam pada itu, kata beliau, Pemuda UMNO juga akan melihat kerjasama lain yang boleh diadakan dengan Pemuda Pas bagi menangani masalah lebih serius.Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, mulai tahun ini seluruh warga kementerian itu akan memeriahkan sambutan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) yang bermula bulan depan sesuai dengan agenda untuk memartabatkan bahasa Melayu.``Program ini akan dijadikan sebagai salah satu daripada program utama kementerian dan sambutannya akan disemarakkan di seluruh jabatan, bahagian, pusat matrikulasi, maktab perguruan dan sekolah-sekolah di seluruh negara,'' katanya.Beliau berkata, gerakan menyeluruh perlu dibuat bagi memupuk perasaan cintakan bahasa Melayu sebagai bahasa identiti rakyat Malaysia.

Iftitah

Kebangkitan gerakan Islam di abad ini memperlihatkan tanda-tanda yang sihat ke arah menegakkan semula masyarakat yang memahami dan menghayati ajaran Islam. Penghayatan ajaran Islam di kalangan ummatnya adalah bertunjang dari kefahaman, kecintaan serta keyakinan yang bertapak di hati dan jiwa orang-orang yang digelar Muslim. Oleh yang demikian cita-cita untuk menegakkan semula masyarakat Islam yang di dalamnya berjalan syari'at Allah(Perundangan Islam) mestilah didahului dengan usaha-usaha menyampaikan kebenaran dan kemuliaan ajaran Islam kepada Kaum Muslimin kerana pengabaian mereka terhadap ajaran Islam selama ini adalah didorong oleh faktor kejahilan yang terlalu lama melanda mereka.

Para pemimpin masyarakat Islam pula,khususnya para 'ulama, mestilah menyedari dan disedarkan tentang tugas mereka supaya bangun bergerak melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab mereka terhadap ummat ini. Mereka mestilah dikejutkan dari sikap tidak ambil peduli atau menjadi pengikut setia kepada orang-orang yang tidak mengerti ajaran Islam malah adakalanya mereka memusuhi Islam. Sesungguhnya dua tugas besar ini mestilah dilaksanakan dalam bentuk perencanaan dan penyusunan yang kemas dalam sebuah ikatan organisasi atau jama'ah yang berada di bawah satu barisan "kepimpinan" seperti yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi Muhammad Sallallahu'alaihi wasallam dan jama'ah Sahabat Baginda Radiyallahu'anhum ajma'in.

Oleh sebab itu ummat Islam tanpa mengira di mana sahaja mereka berada, dari kalangan mana sekalipun mereka datang dan dari kumpulan mana sahaja mereka berjuang mestilah diperingatkan bahawa di antara usaha-usaha musuh mereka untuk menindas dan mematahkan perjuangan Islam adalah dengan cara menyogokkan pembangunan ekonomi dan kemakmuran sambil mengikis ikatan kepercayaan, keyakinan dan 'aqidah pegangan dan perjuangan ummat Islam.