ADIL, BERSIH & PEDULI

Wednesday, January 25, 2006

Demo pada 20/1/06

Masjid Negara - Perarakan yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat pada 20/1/06 telah mendapat sambutan yang agak menggalakkan. Pemuda PJU telah menghantar wakil seramai 6 orang. Mereka ialah akhi Abdul Rahman Sadikin, Azri Mohd Arish, Mohd Arizan Hassan, Nik Saiful Nik Ismail, Amirul Abd Rashid dan Ariff 'Ateed Hasan. Turut hadir ialah akhi Che Ku Bakar selaku Ketua Penerangan kawasan.
Perarakan yang bermula sejurus selepas solat Jumaat di kawasan perkarangan, telah dimulai oleh ucapan akhi Herman Shamsuddin, Ketua Penerangan Pemuda Wilayah. Antara pimpinan yang hadir ialah Dr Hatta Ramli, Mohd Sabu, YB Amiruddin, Dr Syed Azman, YB Salahuddin dan beberapa pimpinan pemuda pusat.
Perarakan dihiasi dengan "banner" dan poster. Orang ramai turut memberi sokongan moral dengan membunyikan hon kenderaan.

Thursday, January 19, 2006

Demo Menentang Pindaan Perkara 121 (1A)
Tempat : Perkarangan Masjid Negara
Tarikh : 20 Januari 2006
Masa : Selepas Solat Jumaat
SELURUH UMAT ISLAM DI MALAYSIA DIMINTA HADIR

Tuesday, January 17, 2006

Isu Pembalakan di Hulu Langat

Buletin Utama TV3 dan MNN Nasional NTV7 semalam menyiarkan bantahan penduduk kampong di Kampung Lembah Gahal, Batu 14 Hulu Langat, Selangor.Rungutan para penduduk kampung adalah lantaran aktiviti pembalakan sebuah syarikat di kawasan berhampiran dengan kampung mereka. Syarikat pemegang konsesi balak itu dikatakan menggunakan laluan kampong untuk mengeluarkan kayu-kayu balak mereka, sekaligus mengancam keselamatan para penduduk terutama dikalangan anak-anak sekolah.Penduduk kampung turut kesal bagaimana syarikat tersebut boleh diberikan lessen sedangkan kawasan yang dimaksudkan sepatutnya telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal dan hutan tadahan hujan.
Menteri Besar Selangor Khir Toyo sendiri telah turun ke tapak berkenaan baru-baru ini dan dilaporkan oleh NST sebagai berkata: "Saya tidak berpuas hati dengan cara pembalakan itu dijalankan dan sedang menunggu laporan terperinci minggu hadapan. Saya tidak boleh membatalkan lessen mereka kecualilah mereka tidak mematuhi peraturan. Saya Cuma boleh membatalkan satu-satu lessen atas sebab-sebab teknikal".Satu demi satu nampaknya masalah timpa-menimpa membabitkan negeri Selangor dan Khir. Mungkin semakin ramai dalam Umno yang mahu melihat beliau jatuh, selalunya begitulah.
Walaubagaimanapun satu maklumat yang menarik adalah berkenaan syarikat yang diberikan lesen konsesi berkenaan. Menurut UTUSAN : "Tempoh konsesi di kawasan seluas 334 hektar yang diluluskan bagi aktiviti pembalakan itu ialah dari Ogos tahun lepas sehingga 31 Julai tahun ini". Apakah nama syarikat tersebut? Apakah hebat dan istimewa sangat syarikat itu sehingga memungkinkan ia boleh menggasak sehingga ke sempadan atau mungkin juga telah masuk pun kawasan hutan simpan kekal?Berdasarkan laporan syarikat yang dimaksudkan adalah FUNGSI MEWAH SDN. BHD.Siapakah di belakang syarikat ini?Kalau kita mengunjungi http://www.mail-archive.com/hizb@hizbi.net/msg37581.htmlkita akan memperolehi maklumat berikut:Pada 18 April 2001, (kerajaan negeri Selangor) meluluskan kawasan kayu balak Kompartment 78 Hutan Simpan Hulu Langat kepada Fungsi Mewah Sdn Bhd, seluas lebih 1200 ekar.Fungsi Mewah dimiliki oleh Pua Kim Seng, adik Pua Kim An, yang mana rumahnyabersebelahan rumah sewa Khir di Sekinchan dahulu. Pua Kim An juga dikesanmendapat tanah 100 ekar di Shah Alam. Keluarga Pua ini menyumbangkan dana kewangan yang besar kepada Khir semasa kempen pilihan raya 1999 dahulu.Maklumat yang sama pernah didedahkan secara berani oleh Saudara Lutfi Othman satu ketika dahulu (yang telah mendedahkan secara lebih terperinci akan hubungan Khir dan keluarga Pua ini yang beliau kenali sejak sebelum jadi MB lagi)Bermakna pemilik syarikat bekenaan adalah kenalan rapat Khir dan kerana itulah barangkali Khir kelihatan bagaikan tak senang duduk dibuatnya. Barangkali juga pihak dalam Umno yang mahu lihat Khir jatuh juga tahu akan hubungan Khir dan Fungsi Mewah ini, lantas akan memudahkan lagi rebahnya Khir dan cita-cita politik beliau.Apa pun jika ada penyelewengan yang terlibat maka ianya perlu didedahkan tanpa memilih bulu. Kalau atas nama kebenaran maka MB perlu jatuh, maka jatuhlah beliau, asalkan kebenaran terserlah dan rakyat tidak tertipu.

Friday, January 13, 2006

Perutusan Tahun Baru Muharam

Tahun Baru Muharram datang lagi!, maka pada tahun ini genaplah 1427 tahun tarikh mengenangkan hijrah Rasulullah SAW. Tahun hijrah yang merupakan identiti umat Islam dan juga jatidiri yang semakin pudar dari kehidupan mereka. Tahun hijrah juga merupakan ijtihad Saidina Umar, Khulafa al-Rashidin ke-2 untuk umat Islam agar mempunyai kalendar mereka yang tersendiri tanpa perlu bergantung kepada kalendar Rom, Yahudi dan Parsi pada waktu tersebut. Sebagai umat Islam, sunnah Umar ini merupakan salah satu autoriti yang wajib kita ikuti sepertimana yang telah disuruh oleh Rasulullah SAW lewat hadis yang diriwayatkan oleh al-Tarmidhi dari sahabat yang bernama al-Irbhad bin Saariyah. Menurut beliau Rasulullah SAW telah berpesan: "(Wajiblah) ke atas kamu (beramal) dengan sunnahku, dan sunnah Khulafa al-Rashidun selepasku" (H.R. al-Tarmidhi dan beliau mengkategorikannya sebagai Hassan Sahih).

Hijrah Rasulullah SAW yang dijadikan permulaan tahun kalendar Islam mempunyai banyak pengajarannya. Ianya memberikan kepada kita pengajaran erti pengorbanan di dalam Islam untuk menegakkan syariat Allah di muka bumi. Pengorbanan harta yang terpaksa ditinggalkan di Mekah demi menyahut suruhan Allah agar umat Islam berpindah ke Madinah. Pengorbanan para sahabat ini telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah al-Hasyr ayat ke-8 :

"Bagi orang Muhajirin (yang berhijrah) yang faqir, yang telah dikeluarkan dari rumah halaman mereka dan juga harta benda mereka semata-mata kerana inginkan kelebihan di sisi Allah dan juga redhanya, dan mereka juga membantu Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang yang benar".

Hijrah juga memberikan pengajaran kepada umat Islam sepanjang zaman erti ukhuwwah ataupun persaudaraan seperti yang telah ditunjukkan oleh kaum Ansar (penduduk Madinah) kepada saudara mereka dari Mekah (Muhajirun). Hijrah juga memberikan pengajaran kepada umat Islam sepanjang zaman betapa keperluan menegakkan syariat Islam dalam bentuknya yang syumul (lengkap) dan meliputi segenap bidang kehidupan. Lihatlah bagaimana tertegaknya sebuah masyarakat Islam dan juga negara Islam yang menjalankan hukum-hakam Islam di Madinah apabila Rasulullah SAW dan juga para Muhajirun berhijrah ke sana. Hijrah juga mengajar umat Islam sepanjang zaman agar sentiasa tunduk dan patuh kepada arahan Allah dan RasulNya tanpa banyak bicara, meskipun terpaksa meninggalkan tanah air tercinta dan juga harta kemewahan. Hijrah juga mengajar umat Islam sepanjang zaman erti strategi dan taktik di dalam melaksanakan syariat Islam seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW lewat hijrah baginda bersama Abu Bakr. Pendekata 1001 pengajaran akan dapat dipelajari dari Hijrah oleh mereka yang terbuka hatinya dan juga ikhlas di dalam mengamalkan Islam.

Sayangnya pada hari ini tahun baru hijrah dan juga peristiwa hijrah itu sendiri semakin dilupakan oleh umat Islam. Jangan terkejut jika ada di antara umat Islam yang lebih mengetahui jalan cerita King Kong daripada peristiwa hijrah yang bersejarah tiu sendiri. Lebih sedih lagi apabila kita mendapati ramai umat Islam yang lebih ternanti-nantikan kedatangan Tahun Baru Cina daripada "Tahun Baru Hijrah". Mengapa?, kerana promosi Tahun Baru Cina di seluruh Malaysia adalah jauh lebih hebat dan lebih menarik daripada Tahun Baru Hijrah! Begitu juga dengan sambutan Tahun Baru Cina, jauh lebih meriah dan dipedulikan oleh masyarakat dan pihak berwajib berbanding Tahun Baru Hijrah. Adalah tidak pelik jika kita dapati hatta pihak kerajaan sendiri lebih bersedia memberikan peruntukan untuk "Rumah Terbuka Tahun Baru Cina" berbanding rumah terbuka untuk "Tahun Baru Hijrah". Malangnya, itu bukanlah sesuatu yang pelik di negara Islam Hadhari malaysia yang kita cintai ini. Maka jika umat Islam di Malaysia ramai yang naif tentang Tahun Baru Hijrah berbanding Tahun Anjing yang dirayakan oleh masyarakat Tiong Hua di negara ini, janganlah salahkan orang lain. Lebih dahsyat lagi, kemeriahan Tahun Baru Cina akan lebih menghiasi program-program TV berbanding program-program bersempena Tahun Baru Hijrah. Bukankah itu membuktikan kebenaran slogan "Malaysia Boleh!".

Satu tindakan proaktif perlu dilakukan di Malaysia ini oleh mereka yang mempunyai kesedaran untuk perubahan ke arah yang lebih baik. Kejahilan umat dan juga dominasi pemikiran non-Islamik yang begitu ketara perlu dibendung dan digantikan dengan pemikiran yang lebih mesra Islam. Jangan lihat orang lain, pada Tahun Baru Hijrah ini sampailah waktunya untuk kita muhasabah diri "Apakah peranan kita untuk menegakkan Islam di muka bumi ini?". Adakah cukup hanya dengan syahadah yang kita lafazkan untuk menjamin kita menghuni syurga di hari akhirat kelak?, ataupun cukup dengan solat, puasa dan juga berkhatan kita sebagai kunci untuk membuka pintu syurga nanti?, ataupun kunjungan kita seminggu sekali ke masjid, atau mungkin setahun sekali ke masjid berupaya melayakkan diri kita tercatat di dalam senarai ahli Syurga?, atau mungkin juga kita berpendapat tulisan "Islam" pada ruangan agama di kad pengenalan "MyKad" itu akan dapat menjadi password untuk kita melintas titian sirat secepat kilat?

Sedarlah dan berubahlah wahai masyarakat Islam di Malaysia!

Maka di kesempatan tahun baru ini, Saya menyeru:

a) Umat Islam di malaysia agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan Sunnah, ajaran Islam yang syumul (lengkap) dan bukannya ajaran-ajaran songsang, ataupun ajaran Islam yang telah disekularkan, mahupun ajaran Islam yang telah ditokok tambahkan.

b) Umat Islam di Malaysia agar berusaha meningkatkan ilmu berkaitan Islam dan mengamalkannya. Janganlah ilmu-ilmu mengenai Islam itu berakhir dengan berakhirnya peperiksaan PMR, SPM ataupun dengan berakhirnya kursus-kursus nikah sahaja. Ilmu tanpa amalan adalah umpama pohon tanpa hasilnya.

c) Umat Islam di Malaysia agar berusaha sepenuhnya di dalam menegakkan syariat Islam di dalam segenap kehidupan mereka, samada dari apek ibadah, muamalat, ekonomi, pendidikan, hiburan, seni, pelajaran, undang-undang, pemerintahan, politik, pergaulan, pertanian dan lain-lain lagi. Ini penting, kerana hanya dengan mengikuti petunjuk Allah sahajalah kita akan menemukan syurga yang diidamkan.

d) Umat Islam di Malaysia agar menjauhi maksiat, menjauhi dosa-dosa besar dan kecil, menjauhi jenayah, samada yang nyata ataupun yang tersembunyi, samada jelas ataupun yang kesamaran. Zina, seks bebas, homoseksual, pergaulan bebas, arak, judi, rasuah, memfitnah, korupsi, pecah amanah, rogol, mencuri, menyamun, berlaku zalim, mengumpat, mengeji, mengadu domba, bertelingkah, membunuh dan 1001 kejahatan lagi perlulah dijauhi.

e) Para pemerintah agar jujur, amanah dan berdedikasi di dalam menjalankan tanggungjawab. Gunakan kuasa yang ada itu untuk menjalankan amar maaruf dan nahi munkar serta elakkanlah diri anda daripada rasuah, pecah amanah, korupsi, penyelewengan, politik wang, berlaku zalim dan juga menghabiskan wang rakyat untuk kegunaan peribadi.

f) Para peniaga, ahli korporat, saudagar-saudagar muslim agar tidak mengambil riba, tidak menipu, tidak memberi dan mengambil rasuah, tidak melakukan urusniaga yang dilarang oleh Islam dan jangan lupa untuk mengeluarkan zakat serta menghulurkan infaq fi sabilillah.

g) Para ibu bapa agar mendidik anak-anak dengan pendidikan Islam dan menjadikan rumahtangga mereka sebagai tapak yang subur untuk melahirkan para ilmuan Islam.

h) Para siswa dan siswi muslim agar ikhlas dan tekun menuntut ilmu, Jauhilah gejala coupling yang hanya akan menjerumuskan diri ke lembah zina, dan juga jauhilah diri dari gejala-gejala dan perbuatan-perbuatan yang akan menjauhkan diri kita dari Allah seperti dadah, disko, berpoya-poya, merempit, menghabiskan waktu bermain game dan lain-lain lagi. Berikanlah jiwa kita untuk ilmu dan kembalikanlah kegemilangan umat Islam di bidang keilmuan.

i) Para ulama agar menjalankan tanggung jawab untuk melakukan usaha pengislahan dan janganlah takut untuk menyuarakan kebenaran. Sebarkanlah ilmu anda ke dalam masyarakat yang kini hidup dalam kepekatan gelapnya Jahiliyah moden.

j) Pertubuhan-pertubuhan Islam, samada parti politik, badan kerajaan mahupun NGO agar menjadikan tahun 1427H dan tahun-tahun yang mendatang sebagai medan untuk memperhebatkan usaha menyebarkan Islam ke dalam kehidupan masyarakat dan berusaha menyedarkan mereka kepada pengamalan Islam yang benar. Islam pasca 11 September memerlukan usaha yang lebih komited dan penuh strategi daripada pertubuhan-pertubuhan Islam terutamanya di dalam usaha menerangkan Islam yang sebenar.

k) Media-media yang dikuasai oleh orang Islam di Malaysia agar menjalankan tugas dengan penuh amanah dan menjadikan Islam sebagai agenda utama mereka. Janganlah keran akeghairahan mengaut keuntungan akhirnya kita gadaikan Islam, moral dan nilai-nilai murni. Adalah menjadi tugas anda untuk memberikan kefaham Islam yang sebenar kepada masyarakat Malaysia. Ingatlah anda akan dipersoalkan di akhirat nanti!
l) Kepada semua semoga tahun 1427H menjadi tapak permulaan kepada tahun-tahun yang lebih gemilang untuk Islam dan juga syariat Islam...Ameen.