ADIL, BERSIH & PEDULI

Saturday, August 27, 2005

MEMPERKASA PARTI DI NEGERI SELANGOR

Pas Selangor telah menubuhkan Lembaga Pemerkasaan Parti Pas Negeri Selangor seawal terpilih dan terlantiknya saf kepimpinan baru negeri baru-baru ini. Lembaga ini akan menjadi badan induk mempromosi pendekatan baru dalam usaha menjadikan seluruh gerakerja parti lebih mantap, berkeyakinan, berwibawa dan bermartabat.

Lembaga Pemerkasaan Parti ini antara lain berfungsi untuk mengkaji ruang-ruang pentadbiran parti yang memerlukan pembaikan dari segi ide, pendekatan dan tatacara perlaksanaan. Usia parti yang sudah menjangkau 53 tahun, sudah tentu memerlukan suntikan-suntikan dan sentuhan-sentuhan ide, pengalaman dan kemahiran terkini bagi menjadikan parti terus relevan, anjal dan sensitif terhadap selera dan citarasa masyarakat di samping terus mempertahankan idealismenya.

Pas Selangor telah memilih para ilmuan, praktisionar, teknokrat dan pengamal modenisasi pengurusan untuk membantu parti kita dalam kerja memperkasa parti. Kerja-kerja awal sedang dijalankan melibatkan seluruh lapisan pentadbiran parti. Kerjasama yang erat dan padu daripada semua pihak sangat-sangat dialukan bagi menentukan usaha murni ini memperoleh kejayaan.

Dalam usaha melakukan anjakan paradigma dalam pemikiran, sikap dan amalan khususnya dalam konteks pemerkasaan parti ini, Pas Selangor cenderung menggunakan pendekatan bertahap atau inkremental. Faktor penerimaan dan kebersediaan ahli menerima perubahan ini di iktiraf menjadi faktor kejayaan kritikal dan pimpinan Selangor sentiasa memperhitungkannya.

Pas Selangor juga mengambilkira unsur ilmu, ketrampilan dan sikap di kalangan ahli Pas yang begitu rencam. Usaha memperkasa parti tidak seharusnya melahirkan kesan negatif samada yang dijangka atau yang tidak dijangka. Apapun, Pas sebagai sebuah parti arus perdana harus menerima hakikat bahawa sistem pengurusan parti mesti diurus dan ditadbir dengan cara yang paling bijaksana bagi membolehkan Pas menjadi parti “evergreen” di hati rakyat.
Program Pemerkasaan Parti yang sebahagian besarnya berlegar di persekitaran pengurusan sistem parti akan memberi tumpuan khusus kepada projek-projek pembaikan dari peringkat akar umbi terendah di cawangan, kawasan, negeri hinggalah ke peringkat pusat. Gerakan ini bercorak holistik dan memakan jangka waktu. Dalam konteks Pas Selangor, eksplorasi ke arah ini sedang aktif dilakukan. Usaha yang bersungguh-sungguh daripada kita disamping menyerahkannya kepada ketentuan Allah Azzawajjala merupakan aduanan kepada kejayaan.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home