17 Setinggan Kg Saujana Ditahan Polis
Muda Mohd Noor
Sep 7, 05 4:15pm - Seramai 17 penduduk setinggan Kampung Saujana di Shah Alam ditahan di lokap polis Seksyen 11, Shah Alam kerana cuba menghalang kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) daripada merobohkan rumah mereka pagi tadi. Wakil Suara Warga Pertiwi, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Ramasamy Karuppan berkata, anggota polis dan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) menahan penduduk terbabit setelah berlaku pertengkaran dengan anggota MBSA yang melancarkan operasi meroboh rumah mereka. Katanya, kesemua yang ditahan itu dibawa dengan trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ke Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam. Mereka dibebaskan dengan ikat jamin pada jam 4 petang. “MBSA menggunakan jentolak untuk merobohkan rumah penduduk dalam operasi yang bermula jam 11 pagi sambil dikawal ketat oleh anggota FRU dan Pegawai Pejabat Tanah,” katanya. Beliau mendakwa, sewaktu pergelutan itu, ada penduduk, termasuk kanak-kanak yang cedera dan terpaksa dirawat di klinik berhampiran. Ramasamy berkata, anggota polis tidak membenarkan penduduk mengambil barangan mereka, menyebabkan ia rosak dan musnah disodok jentolak. Kampung Saujana didiami 36 keluarga setinggan dan MBSA telah mengarahkan mereka berpindah dalam usaha Kerajaan Selangor membasmi setinggan di negeri itu. Semalam, katanya, penduduk mengadakan rundingan dengan Datuk Bandar Shah Alam, Ramli Mahmud untuk memohon operasi tersebut ditangguhkan tetapi tidak berhasil. Rumah ganti belum siap Beliau berkata, Ramli memberitahu anggota rombongan yang menemui beliau bahawa operasi merobohkan rumah setinggan Kampung Saujana tidak boleh ditangguhkan lagi kerana ia arahan kerajaan negeri. “Penduduk bukan tidak mahu berpindah tetapi rumah yang dijanjikan oleh kerajaan negeri di Monterez Kayangan, Shah Alam belum siap. Malah pinjaman perumahan juga belum diluluskan,” katanya. Sementara itu, seorang penduduk Kampung Saujana, yang sudah berpindah, Natchyamuthu Subramaniam mendakwa peristiwa itu boleh dielakkan jika penduduk tidak bertindak kasar terhadap anggota polis yang berkawal. Katanya, penduduk juga degil kerana tidak mahu berpindah sedangkan ia sudah berulangkali diberi amaran oleh MBSA supaya berbuat demikian. “Apa yang pelik ialah mereka tidak membantah pemindahan penduduk semasa perbincangan dengan Datuk Bandar Shah Alam tetapi apabila ada operasi, lain pula jadinya,” katanya ketika dihubungi.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home