ADIL, BERSIH & PEDULI

Tuesday, August 30, 2005

PANDUAN MENCEGAH KEBAKARAN

Langkah-langkah keselamatan :
  1. Simpan bahan kimia yang mudah meruap (seperti turpentin dan baja kimia) di dalam bekas asal. Letakkan di setor berkunci yang berada di luar rumah.
  2. Simpan minyak pembakar (iaitu minyak tanah, kerosene, dan gasolin) di dalam bekas yang selamat. Letakkan di tempat selamat di luar rumah.
  3. Jangan simpan atau mengisikan minyak pembakar ini di dalam bekas yang bocor, botol air mineral, atau botol plastik selain daripada bekas khas.
  4. Jangan sesekali menggunakan atau membawa masuk minyak tanah atau minyak gas ke dalam rumah.
  5. Jauhkan benda yang mudah terbakar (langsir, perabot kayu, kertas, suratkhabar, kotak kertas, kain, pakaian, minyak pembakar) daripada dapur.
  6. Simpan mancis dan pemetik api di tempat jauh dari kanak-kanak .
  7. Jangan tinggalkan dapur dengan api terbuka semasa anda memasak. Padamkan api dapur atau sudahkan dahulu kerja memasak sebelum anda keluar dari dapur.
  8. Padamkan api rokok, puntung mancis atau kertas penyala dengan AIR - PASTIKAN BARA PADAM - sebelum anda membuang ke dalam tong sampah!
  9. Semasa memasak, jangan memakai pakaian dari jenis yang mudah terbakar (seperti nilon dan rayon). Kain sintetik seperti ini boleh terbakar jika ternyala oleh dapur panas atau api memasak.
  10. Jangan tinggalkan pemanggang atau ketuhar semasa menggunakannya.
  11. Jangan biarkan lilin atau pelita menyala tanpa dijaga. Pasangkan lilin atau pelita di atas bekas yang tidak boleh terbakar.
  12. Jika menggunakan ubat nyamuk jenis bakaran: letakkannya dalam bekas logam, kaca atau tembikar (yang tidak mudah terbakar), jauhkan daripada katil, pakaian, langsir, buku, atau tempat laluan.
  13. Jauhkan sambungan elektrik daripada langsir, pakaian, katil, perabot, atau benda mudah terbakar.
  14. Jangan bebankan sambungan elektrik (electrical outlets, extension cords and power strips) - Gunakan penyambung elektrik yang diluluskan oleh SIRIM / Jabatan Bekalan Elektrik.
  15. Periksa jika ada koyak atau pecah pada sambungan dan wayar elektrik. Tutup outlet elektrik yang tidak digunakan.
  16. Pastikan alat pemutus bekalan elektrik berfungsi! Alat ini berperanan memutuskan litar elektrik jika terjadi bekalan lampau (overload), sambaran petir, dan ledakan kuasa (power surge).
  17. Pasangkan alat penggera api dan asap - alat ini berperanan mengesan asap dan haba yang menandakan kebakaran.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home